Nuffnang Ads

Thursday, November 29, 2012

Kain Pelikat



Kain Pelikat adalah pakaian yang amat sinonim bagi kaum lelaki terutama sekali dari keturunan Melayu dan ia telah dipakai secara meluas semenjak zaman kesultanan Melaka lagi iaitu sekitar abad ke-15. 

Pakaian unik ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti "sarung", "kain sarung" dan "sarung pelikat". 
Ia juga banyak dipakai oleh keturunan lain selain Melayu tetapi pemakaiannya mungkin terhad ketika bersantai di dalam rumah sahaja ataupun sewaktu tidur. 

Buktinya boleh dilihat pada segelintir masyarakat Baba Nyonya dan India yang masih dilihat menggunakan pakaian istimewa ini ketika berada di rumah.

Asal Usul Nama Kain Pelikat

Terdapat pelbagai fakta yang dikaitkan dengan asal-usul nama kain pelikat ini. Namun fakta yang mungkin tepat dan boleh digunapakai ialah dari hasil penulisan seorang pengembara Portugis yang tinggal di Melaka semasa zaman keagungannya 1528 hingga 1538 yang dikenali sebagai "Castanheda". 

Dalam hasil penulisan beliau, terdapat huraian mengenai pedagang asing dari Palaiyakat iaitu satu daerah yang terletak di Thondai Mandalam, kawasan timur laut Tamil Nadu di India. 

Pedagang-pedagang tersebut dikatakan telah memasarkan kain sarung, kain putih dan barangan lain yang diimport terus-menerus dari Palaiyakat. 
Produk sarung tersebut telah mendapat sambutan yang sangat hebat sehinggakan ianya mendapat gelaran kain pelikat (ringkasan - kain dari Palaiyakat) dan sehingga kini ia dikenali sebagai kain pelikat dikalangan masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia amnya.

Sejarah Kain Pelikat

"Perusahaan tenunan tekstil merupakan industri penting di era kecemerlangan Islam,” ungkapan Ahmad Y. Al-Hassan dan Donald R. Hill dalam bukunya bertajuk Islamic Technology: An Illustrated History. 
Pada zaman pertengahan iaitu kegemilangan Islam, kualiti dan standard tekstil masyarakat Islam di Semenajung Arab adalah sangat tinggi. 

Jadi tidak hairan lah, jika industri tekstil di era ketika itu telah mendapat pengaruh yang sangat besar terhadap pembangunan industri tekstil negara Barat.

Salah satu produk tekstil yang berkembang di era kegemilangan Islam dan masih bertahan hingga saat ini adalah kain Pelikat - kain lebar yang dijahit pada kedua ujungnya sehingga berbentuk seperti tiub. 

Menurut catatan sejarah,  kain pelikat atau sarung adalah berasal dari negara Yaman.  Di sana sarung biasa disebut sebagai "futah".

Kain pelikat ataupun sarung juga dikenali dengan nama  "izaar", "wazaar" atau "ma’awis".   Masyarakat di negara Oman menyebut kain pelikat dengan nama  "wizaar". Di negara Saudi Arabia ia dikenali sebagai  "izaar". 
Penggunaan kain pelikat telah meluas, tidak hanya di Semenanjung Arab, malah ia juga telah digunakan secara meluas di Asia Selatan, Asia Tenggara, benua Afrika, Amerika dan Eropah.

Dalam  Ensaiklopedia Britanica, ada satu catatan yang menyatakan bahawa  sarung adalah pakaian tradisi masyarakat Yaman. 

Sarung dikatakan telah ditenun dan digunakan masyarakat tradisional Yaman semenjak zaman dahulu. 
Sarung ini pada asalnya digunakan oleh suku kaum Badwi yang tinggal di Yaman. Sehingga kini,  masyarakat Islam di Yaman masih banyak yang menggunakan sarung sebagai pakaian utama. 
Masyarakat arab juga mengenakan kain sarung yang berwarna putih yang tidak mempunyai sebarang corak ataupun motif kekotak ringkas sebagai alternatif kepada seluar putih didalam jubah mereka. 

Penjualan sarung yang dikenali sebagai izaar ini masih boleh dilihat di gedung membeli-belah utama di negara-negara timur tengah.

Dengan berkembangnya aktiviti perdagangan di masa lampau, kesan penggunaan sarung juga telah meluas ke negara-negara tumpuan pedagang seperti India, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia. 

Berkemungkinan juga penerimaan baik terhadap pemakaian sarung ini adalah disebabkan oleh keadaan cuaca yang panas dan lembap di beberapa negara tersebut dimana sarung dapat menjamin keselesaan yang paling optimum.
Di negara India  dan Bangladesh ia dikenali sebagai "lungi", di Myanmar pula ia dikenali sebagai "longyi", di Thailand ia disebut sebagai "pakhawma", manakala di Malaysia dan Indonesia ia dikenali sebagai "kain pelikat", "sarung" ataupun "sarung pelikat".

Orang Badwi dengan Izaar
Lungi dari India dan Bangladesh
Longyi pakaian rasmi orang Burma
Kain pelikat di Malaysia dan Indonesia
Kain pelikat diperbuat daripada pelbgai bahan  termasuklah kapas  dan polyester atau pun campuran antara kedua-dua bahan. 

Manakala motifnya pula telah direka dengan padanan warna dan corak kekotak, garis vertikal, horizontal dan corak geometri lain yang menarik.


Sarung merupakan pakaian tradisi nelayan-nelayan Arab yang berasal dari Teluk Parsi, Lautan Hindi dan Laut Merah sejak dahulu lagi. Sarung juga digunakan olah orang-orang Turki sebagai pakaian tidur pada zaman pertengahan.

Mungkin terdapat beberapa faktor yang membuatkan sarung begitu sinonim dalam tradisi Islam di Asia kerana sarung sangat mudah dipakai, selesa dan ringkas. Selain itu ukurannya yang panjang amat ideal untuk menutupi aurat dengan baik.

Jika dirujuk pada salah satu hadis, penggunaan sarung kemungkinan besar juga sudah dikenali pada  zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Buktinya boleh didapati dalam sebuah Hadis Riwayat Bukhari- Muslim. Dari Sahal bin Sa’ad, dikisahkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah didatangi seorang wanita sambil berkata, "Ya Rasulullah kuserahkan diriku untukmu”.  

Wanita itu berdiri lama lalu  muncullah seorang lelaki lalu berkata, "Ya Rasulullah kawinkan dengan aku saja jika kamu tidak ingin menikahinya”.

Rasulullah S.A.W. berkata, "Punyakah kamu sesuatu untuk dijadikan mahar? Dia berkata, “Tidak kecuali hanya sarungku ini”. Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab, “Bila kau berikan sarungmu itu maka kau tidak akan punya sarung lagi, carilah sesuatu”. Lelaki itu menjawab, "Aku tidak mendapatkan sesuatu pun”.

Rasulullah  S.A.W. berkata, "Carilah walau cincin dari besi”.  Lelaki itu mencarinya lagi dan tidak juga mendapatkan apa-apa. Lalu Rasulullah S.A.W. berkata lagi, "Apakah kamu menghafal Al-Quran?”  Lelaki itu menjawab, "Ya surah ini dan itu” sambil menyebutkan surah yang dihafalnya. Lalu berkatalah Rasulullah S.A.W., "Aku menikahkan kalian berdua dengan mahar hafalan Al-Quran mu". 

Dari riwayat tersebut, kain sarung sepertinya telah digunakan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. sebagai pakaian untuk menutupi aurat.

Kegunaan Kain Pelikat


Kegunaan utama kain pelikat adalah sebagai kain sarung yang boleh dipadankan dengan baju melayu atau baju kurung, buaian, kain untuk mengendong anak, sampin, selepang, tudung kepala dan kain yang dipakai ketika sembahyang sebagai alternatif sekiranya seluar didapati kotor. 
Cara Pemakaian Kain Pelikat

Kain pelikat biasanya dijual secara berjahit atau tanpa berjahit (kain pelikat lepas). 

Pada suatu masa dahulu, kain pelikat lepas digunakan sebagai kain basahan oleh orang yang sedang mengerjakan haji (ketika dalam keadaan ihram dan tidak boleh memakai kain berjahit). 

Pada masa kini, amat jarang kain pelikat dijual tanpa dijahit. Berikut adalah ilustrasi foto mengenai cara-cara memakai kain pelikat.


Cara-cara pemakaian kain pelikat yang boleh didapati dari laman sesawang youtube:-



Motif Kain Pelikat

Kain pelikat biasanya bercorak kekotak atau "checkered", tetapi terdapat juga tenunan pelikat yang bercorak garis horizontal atau vertikal, motif bunga & tumbuhan geometri dan juga tanpa corak iaitu kain putih kosong.

Lungi
Kain pelikat

Longyi
Kain Pelikat Dan Industri Fesyen Eropah

Sebuah organisasi fesyen yang berpengkalan di negara Sepanyol telah menggunakan kain pelikat dari jenis lungi yang diperolehi dari negara India sebagai material utama mereka dalam menghasilkan pakaian moden untuk pasaran dunia dengan mengetengahkan idea sokongan terhadap produk mesra alam seperti lungi. 

Ini adalah kerana kain lungi kebanyakannya ditenun dengan menggunakan tangan dan langsung tidak menggunakan tenaga alternatif lain, maka ia dianggap 100% mesra alam disamping memberi pendapatan lumayan terhadap para penenun lungi yang kian berkurangan akibat penggunaan mesin tenunan yang semakin rancak kebelakangan ini.

Usaha tersebut patut dipuji kerana bukan sahaja ia dapat membantu golongan yang tersisih malah hasil dari penggunaan sarung lungi ini juga didapati amat popular sehingga ke negara Jepun. 

Pada musim panas tahun lepas, banyak syarikat pengeluaran pakaian Jepun talah menghasilkan produk yang berasaskan fabrik bercorak kotak tenunan tangan yang dikenali sebagai "Madrass Check" dan ianya telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.


Kain pelikat jenis "lungi" telah digunakan sebagai material utama dalam penghasilan pakaian moden Eropah.

Hasil ciptaan pakaian moden dari penggunaan kain lungi

Design termini dengan material lungi dari India

Hasil ciptaan lain boleh didapati di laman sesawang http://iouproject.com/shop/ 



17 comments:

haziqjanudin said...

minta izin nak share boleh? :)

qataridz said...

boleh silakan!

Unknown said...

Izinkan saya mengambil sedikit info dan share boleh tak?

qataridz said...

boleh @athirah Mansor …silakan

Unknown said...

Saya minta kebenaran share yea :)

qataridz said...

Boleh sila kan Zakhwan Bijikopi...

Pelikat Melayu said...

Salam,Maaf bertanya ,saya adakah peminat kain pelikat.mahu bertanya saudara juga peminat kain pelikat...saya amat mengagumi article ini.harap boleh di ketengahkan pada anak-anak muda sekarang

Pelikat Melayu said...

Salam,Maaf bertanya ,saya adakah peminat kain pelikat.mahu bertanya saudara juga peminat kain pelikat...saya amat mengagumi article ini.harap boleh di ketengahkan pada anak-anak muda sekarang

qataridz said...

@pelikatmelayu maaf lambat saya jawab ruangan ini. Ya saya gemar memakai kain pelikat. Terima kasih kerana berminat dengan petikan ini.

art said...

Assalammualaikum,

Minta izin nak share boleh? :)
Info ini sangat berguna untuk mereka pada masa akan datang..di harap dapat memberi manfaat kpd kita semua..
tq ^_^

qataridz said...

sila kan share…terima kasih @art

Anonymous said...

Assalamualaikum,
Kain pelikat banyak warna baru best. Pakai pi masjid..

Unknown said...

Saya sedang melakukan research tentang kain pelikat untuk fyp saya. Mintak permission untuk menggunakan sedikit info dari sumber anda. Terima kasih

Ahmad Salihin b. Mohd Yusof said...

sALAM ADMIN, IZINKAN SAYA SHARE BOLEH

Anonymous said...

Assalamualaikum. Saya mohon keizinan utk share ya

Anonymous said...

Boleh silakan

Admin said...

Kalau di Indonesia, kain pelikat ini disebut kain sarung namanya ... Trime kasih dah berkongsi ... Layari laman blog kami Minda Art