Nuffnang Ads

Sunday, November 15, 2015

Winter - Musim Tangkap Ketam (Crabbing)


Salah satu perkara menarik yang boleh dibuat di Qatar adalah crabbing.

Bila tibanya musim sejuk maka ada saja trip dirancang oleh kawan-kawan Melayu untuk pergi menangkap ketam.

Tangkap ketam jenis apa?

Ketam biru atau ketam bunga la sama macam yang kita makan di Malaysia.

Ketam biru adalah ketam jantan dan kalau saiz kecik sikit tu, warnanya pulak agak kusam tiada warna biru, itu ketam betina.

Ketam jantan berwarna biru adalah lebih besar berbanding ketam betina.

Tapi ketam betina adalah lebih berat dan padat isinya berbanding ketam jantan.

Ketam biru adalah lebih cantik dengan claws yang runcing dan panjang.

Manakala motif pada cenggerangnya yang lebih teserlah dan berbatik mungkin berguna untuk memikat ketam betina.

Kita semua tahu kan di alam haiwan ni haiwan jantan lebih menarik dari segi penampilan.

Lihat saja ayam jantan dengan bulunya pelbagai warna dan yang paling ketara adalah burung merak jantan yang kembang ekornya dan indah warnanya berbanding merak betina yang cuma ada satu warna yang membosankan.

Ha itu cerita pasal feature ketam….just nak bagi hampa paham.

Berbalik pada aktiviti crabbing. Kenapa musim sejuk dikatakan musim tangkap ketam?

Sebabnya adalah pada musim sejuk ni la ketam-ketam bersaiz besar dan matang boleh ditangkap.

Ada je ketam ketika musim panas tapi saiz nya ala-ala remaja gitu.

Dan satu sebab lagi adalah cuaca yang lebih sejuk dan sesuai untuk picnic atau buat berbeque tepi pantai…

Selalunya pergi berkumpulan, bawak keluarga park dekat satu tempat golongan isteri dan anak-anak akan bentang tikar dan berkelah sambil sembanglah bab periuk belanga, sambal tumis, tudung baru, tentang sekolah anak-anak dan semua topik yang biasa mak mak sembang….

Bapak-bapak pulak akan pergi crabbing ke laut.

Cara crabbing? ok di sini kalau port crabbing yang bagus adalah dibahagian utara Qatar iaitu di kawasan Al-khor.

Pantai Al-Khor ni agak landai dan luas dan memang tempat ideal untuk Cik Tam ni bermain-main dan mungkin juga membiak (mating ground)..

Waktu yang sesuai adalah ketika air pasang hampir surut dimana ketika keadaan arus air yang mengalami perubahan menyurut yang banyak membawa makanan ke dalam laut dan membuatkan ketam gemar akan keadaan itu.

Dan ketika air pasang nak surut tu adalah sesuai dan lebih selamat berbanding ketika air pasang meninggi yang lebih merbahaya.

Dah ada kes penangkap ketam dari Filipina yang lemas dua tiga tahun lepas kerana tak sedar mereka sudah berada ditengah laut yang air semakin meninggi.

Mungkin mereka tidak sempat mengharungi air untuk kembali ke pantai dan berakhir dengan tragedi.

Peralatan yang digunakan hanyalah serampang tiga. Ketika meredah air laut yang agak jernih tu, lampu torchlight disuluh ke arah air dan boleh nampak kelibat ketam.

Serampang tiga ditujah tepat ke arah ketam dan jika sasaran tepat dan mengena cepat-cepat tangkap ketam tu dan masukkan dalam karung yang dibawa.

Boleh la hasil satu malam dapat lebih kurang dua ke tiga plastik shopping bila dibahagi-bahagikan sama rata.

Ada satu lagi kaedah iaitu dengan menggunakan sejenis net/jala kecil yang dipasangkan pemberat dibahagian atasnya dan dipasangkan umpan isi ikan dibahagian atas.

Tetapi net khas ni tak dijual di Qatar. Kene beli di Malaysia. Tak tau pulak apa namanya tapi memang ada jual di kedai-kedai pancing.



Net akan dihubungkan pada tali tangsi dan seterusnya pada joran. Kemudiannya di lontar ke dalam laut.

Biasanya kaedah ini di lakukan di kawasan jeti atau kawasan tambakkan yang menghala ke tengah laut.

Cara ini lebih bersih sebab kita tak perlu meredah air. Cuma hasilnya tak sebanyak jika dibandingkan dengan kaedah serampang tiga tadi.

Kalau guna serampang tiga, kita pergi memburu ketam. Tapi dengan mengunakan net dan joran ni, kita mengumpan ketam untuk datang dan terperangkap pada net yang dipasang.

Kelebihan menggunakan net adalah ketam yang ditangkap tidak cedera cuma perlu berhati-hati ketika memisahkan net dan ketam agar anggotanya tidak terpisah dari badan.

Ketam segar sangat sedap kalau dimasak kari atau masak lemak cili api dengan nenas.

Kami selalu masak Chilli Crab dan Ketam Kam heong.

Sesuai jugak gunakan ketam segar ni untuk masak shabu-shabu (steambot). Celur kejap je n kupas…hmmm…mmg heaven…

Dicampurkan dengan maggi kari atau tom yam. Ataupun rebus saja dengan sedikit serai dan garam…fuhhhhhh manis tak terkata….

Kalau dah banyak tu bilangan ketamnya..boleh la explore sikit masak tu buat stuffed crab ka….atau buat crab chowder…sangat  menarik kalau dapat makan ketam fresh ketika musim sejuk ni….

Harga ketam kalau dibeli di bandar tak lah mahal sangat dalam RM15 sekilo.

Cuma kalau tangkap sendiri tu lebih memberi kepuasan disamping mengeratkan silaturrahim sesama kawan-kawan.

Pernah satu ketika dahulu ada kawan saya (seorang pramugara MAS) yang pernah berkhidmat untuk penerbangan ke negara Kuwait.

Ketika night stop dan menginap di sebuah resort di tepi pantai Kuwait City, mereka pasti akan melakukan aktiviti crabbing.

Kawasan Teluk Arab (Arabian Gulf) memang banyak dengan haiwan krustasia seperti ketam dan slipper lobster.

Jadi tak hairanlah jika terdapat banyak spesis ketam biru boleh ditangkap di sini.

Tambahan pulak mazhab Hambali, Hanafi dan Maliki melarang pengikutnya memakan ketam.

Jadi di sini hanya orang Malaysia, Indonesia dan Filipina yang biasanya akan membeli dan menangkap ketam untuk dimasak.

Sebab tu lah harganya murah dan tidak banyak orang beli.

~ ridz

Thursday, November 12, 2015

Hujan Turun Tanda Bermulanya Winter di Qatar

Winter kat sini tak lah macam dinegara yang betul-betul 4 season macam UK tu.
Tapi bagi saya sejuk jugak la cuaca winter kat sini sebab saya tak berapa suka sejuk.
Suhu dah mula turun bawah 30 degree selsius.
Semalam suhu paling tinggi 38 degree sebab hujan malam tadi hari ni suhu max dah jadi 28 dan minimum 21.
Dan suhu ni akan makin menurun sampai kemuncak sejuk yang pernah dicatat disini adalah lebih kurang 7 degree selsius.
Itu yang saya tahu, mungkin lebih rendah dari 7 degree sebelum saya sampai sini.
Winter di sini akan disulami dengan hujan kadang-kadang tu.
So lihatlah kereta saya dah jadi macam belacan.
Itu kereta bercat putih so tak lah ketara sangat kotor nya.
Kalau kereta hitam atau warna gelap bukan nampak macam belacan lagi dah mungkin macam kerbau bersalut lumpur agaknya.
Sebab itu di sini kenderaan bercat putih mempunyai resell value yang lebih tinggi berbanding kenderaan berwarna lain.
Itu research yang saya buat sebelum beli kereta lah. Mungkin ada kebenarannya 70% maybe sebab memang banyak kereta bercat putih di sini.
Bisnes cuci kereta di sini jangan cakap la, mmg masyyukkkkk.
Itulah sebab nya saya pernah katakan yang saya diberitahu oleh operator pusat cuci kereta saya harus menunggu paling kurang 3 jam.
Realitinya sekarang lah musim kereta kotor. Amik ko! Hari tu boleh lah saya kata si dia menipu dan cuba mengelat untuk tak nak ambik kereta saya dan cuci.
Winter juga merupakan musim athma. Ramai yang akan kena flu kalau tak de antibody yg kuat.
Ada keluar news kerajaan melalui kementerian kesihatan membeli lebih bekalan vaksin suntikan pencegah flu.
Pemegang kad kesihatan kerajaan boleh dapat suntikan percuma.
Tapi dekat klinik swasta harga sekali cucuk rm480. Mahal bukan?
Setakat ni kami belum lagi ambik suntikan.
Cukup sekadar ambik vitamin C 1000mg dalam kadar harian untuk kuatkan imune system badan. Harapnya kekal lah sihat.
Ketika winter banyak aktiviti riadah dilakukan. Taman-taman awam dibuka dan dinaiktaraf.
Pasaraya-pasaraya berlumba-lumba mengadakan promosi barangan riadah termasuklah perkakas camping, set barbeque, payung besar untuk berkelah tu dan pakaian sukan.
Qatar ni negara teluk. Tapi jangan terkejut ketika winter production bahan makanan seperti sayuran banyak dihasilkan di sini.
Kerajaan ada wujudkan pusat sehenti jualan produk agro.
Pusat jualan ni sama seperti pasar tani anjuran FAMA di Malaysia dan dah pun mula dibuka pada awal bulan November.
Memang banyak produk agro kalau hampa tengok sure tak sangka Qatar negara iklim panas mengeluarkan produk tani seperti capsicum, marrow, carrot, broccoli dan sayur-sayur iklim sejuk lain.
Dan harganya sangat la murah. Bayangkan ketika musim panas harga broccoli yang di import dari Holland adalah QR25 ke atas sekilo.
Kini harga broccoli tempatan boleh dapat QR8 sekilo. Itu contoh la betapa murahnya sayur tempatan yang dijual.
Ketika winter jugalah ramai pelancong akan datang. Sebab ada festival winter dengan bermacam acara dijadualkan.
Kami selalu syorkan pada ahli keluarga untuk datang ketika winter. Boleh berubah angin sikit duduk disini menikmati hawa sejuk.
Ketika winter juga lanskap jalanan akan digantikan dengan pokok-pokok berbunga yang cantik. Sesuai untuk bergambar.
Hahaha boleh la nampak mat mat bangla (south asian) bergambar beramai-ramai di kawasan lanskap.
Boleh bukan tak boleh bergambar dekat kawasan awam.
Tapi kadang-kadang nak tergelak tengok keletah depa bermacam gaya.
Ada yang dukung kawan la ada yang recline macam sleeping budha punya position tu dan ada berkumpulan dalam 10 orang dengan 2-3 kawan pompuan. Confuse sat...
Seronok perhati gelagat macam-macam bangsa di sini.
Dekat public park boleh tengok mak arab jogging atau beriadah berjalan kaki sambil lengkap berabaya dengan niqab.
Macam mana tahu mereka ni beriadah? Nampak kasut sport yang dipakainya la.
Berkelah. Ramai orang membentangkan tikar berkelah di taman. Dan ada acara jualan car boot sale dianjurkan. Banyak barang-barang dari penjual pelbagai negara boleh didapati.
Mereka bukan jual barangan terpakai tapi barangan yang dibawa dari negara masing-masing. Contohnya hasil kraftangan dari Uganda. Tak payah pergi Uganda beli saja di sini.
Menarik bukan?
Itulah serba sedikit kisahnya musim sejuk di sini.

Sunday, November 8, 2015

Salun Rambut Lelaki Lebih Banyak : Satu Keunikan Negara Qatar

Kenape banyak salun rambut lelaki?
Inilah realiti yang saya perhatikan semenjak mula menjejakkan kaki ke sini.
Salun rambut lelaki di kawasan rumah saya saja masih belum berjaya saya kira bilangannya sampai sekarang.
Di sesetengah blok bangunan rumah kedai sederet semuanya salun rambut lelaki.
Saya agak la bilangannya tak kurang dari 20 buah salun di sepanjang jalan airport lama ni.
Pemiliknya berbeza-beza tau.
Ada salun rambut warga India yang agak berpatutan cajnya. Biasalah setting kedai dan cara guntingnya sama seperti kedai gunting rambut India di Malaysia.
Ada juga salun rambut Turki. Tukang guntingnya mak ai hidung terletak bagaikan gunung Ararat dan penampilan mereka kemas dan bersih. Kualiti potongan rambut juga agak memuaskan tapi cajnya adalah lebih sedikit dari kedai India.
Ada salun rambut warga Arab lain seperti Lubnan dan Emiriah Arab Bersatu.
Rata-ratanya menggunakan nama komersial seperti contoh Jamaica, Dubai atau Daytona Saloon.
Nak tau kenapa banyak sangat salun rambut lelaki?
Tentulah sebabnya populasi lelaki lebih tinggi di sini berbanding perempuan.
Jumlah penduduk lelaki adalah 75% manakala perempuan pula hanyalah 25%.
Satu lagi sebab adalah di sini ramai expatriat warga Asia Selatan dan Timur Tengah yang sangat lebat misai, janggut dan sideburn mereka.
Bukan sahaja lebat tetapi cepat tumbuh pulak tu.
Servis kedai gunting rambut biasanya lengkap dengan khidmat mencukur jambang dan sebagainya.
Sediakan saja duit tambahan kalau nak wajah kita bersih macam Salman Khan.
Kenapa saya sebut nama artis bollywood si Salman Khan tu? Hmm untuk pengetahuan semua saya lihat ada saja majalah hiburan bollywood di kedai-kedai gunting rambut di sini.
Ada juga gambar selebriti bollywood ditampal sebagai contoh fesyen rambut yang boleh dipilih.
Mungkin style yang sedang trending bagi mereka gamaknya.
Kalau saya nak gunting rambut tak payah tunggu q. Pergi saja mana-mana kedai yang ada kekosongan kerusi.
Nak tahu keunikan tukang gunting di sini?
Hahaha mereka mesti pakai pakaian putih. Ada sesetengah tukang gunting mengenakan unifom saling tak tumpah seperti unifom doktor di pusat perubatan.
Mungkin ianya tuntutan undang-undang di sini saya pun belum sempat periksa.
Semua tukang gunting rambut di sini sangat professional.
Masih teringat dan phobia sebenarnya bila berbicara tentang salun rambut ni.
Mau tidanya, telinga saya pernah terkena bilah gunting si pemotong rambut sehingga berdarah. Hahaha itu kes di kedai gunting rambut India di Malaysia la bukan di sini.
Mungkin tukang gunting tu baru lepas kena hamput dengan bini kot sampai menjejaskan konsentrasi beliau bekerja. Hahahaha...
Salun rambut wanita pula boleh dikira dengan jari.
Salun rambut wanita biasanya dilekatkan lebel "lelaki dilarang masuk".
Kalau lelaki masuk boleh jadi kes polis dan padah la jawabnya.
Rambut wanita adalah aurat dan mereka sangat jaga akan hal itu.
Salun wanita biasanya dilengkapi dengan servis manicure pedicure,spa, sauna dan sebagainya.
Ada beberapa salun wanita berdekatan rumah saya selalu penuh dengan pelanggan. Mungkin sebab kurang bilangan salunnya berbanding salun lelaki.
Kelihatan banyak kereta-kereta mewah parking diluar salun dan ada juga driver yang menunggu di dalam kenderaan.
Hebat bukan?
Banyak lagi fenomena yang sempat saya perhatikan semenjak tinggal di sini.
Nantikan post seterusnya insyaAllah...

Solat Jumaat di Bumi "Oryx"

Saya di hadapan Masjid Fanar
Solat Jumaat di sini boleh dikatakan agak berbeza pengelamannya kalau dibandingkan dengan Malaysia.
Di sini saya kerap berkunjung ke dua masjid yang membenarkan khutbah Jumaat dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Masjid tersebut adalah Masjid Aspire Zone dan Masjid Fanar Islamic Cultural Centre.
Yang rugi nya adalah saya juga sebab masih tak belajar Bahasa Arab walaupun dah duduk di sini lebih dari 3 tahun.
InsyaAllah ada kelapangan saya memang nak pergi kelas bahasa arab.
Sambung balik, ada beberapa masjid berdekatan dengan rumah tetapi khutbah yang disampaikan di sini dalam bahasa arab.
So saya lebih suka pergi masjid yang khutbahnya disampaikan dalam bahasa yang saya faham.
Yang penting bagi saya adalah isi khutbah itu dapat saya serap ke dalam otak saya untuk saya ingat dan amalkan.
Jadi kalau ada hal atau terlewat untuk ke Masjid Fanar dan Aspire saya akan pergi ke masjid berdekatan.
Masjid yang dekat dengan rumah ni kecik dan harus pergi awal kalau tidak sembahyang diluar tengah panas lah jawabnya.
Tapi lain suasananya ketika musim sejuk. Ramai pula yang membentangkan sejadah dan bersembahyang di luar.
Ada juga yang membentangkan sejadah dibawah teduhan rumah hadapan masjid. Hairan jugak saya lihat.
Biasanya saya akan ke Masjid Fanar.
Masjid Fanar
Di Masjid Fanar kadang kala ada beberapa ikon dakwah Islam dijemput untuk program terentu sekaligus menjadi imam sembahyang jumaat.
Antara nama besar yang pernah saya lihat adalah Mufti Zimbabwe Mufti Ismail Menk dan Yusuf Estes.
Bezanya di sini, bila pergi sembahyang pakai lah kasut apa pun mahal atau murah insyaAllah takkan hilang.
Belum pernah lagi dengar orang merungut kasut hilang atau barang peribadi hilang di masjid.
Itu kredit yang boleh saya beri pada negara Qatar.
Saya dapati keadaan di sini amat selamat untuk harta benda.
Kompleks Masjid Fanar adalah pusat Islam Qatar sebenarnya. Banyak penerbitan buku-buku ilmiah Islamik dilaksanakan di sini.
Kerja-kerja penterjemahan juga banyak. Di dalam Masjid Fanar itu sendiri terdapat shelf-shelf buku yang menempatkan terjemahan Al-Quran dari pelbagai bahasa utama Dunia termasuklah Bahasa Melayu.
Selain itu terdapat banyak penerangan tentang asas-asas agama Islam diterbitkan dalam bentuk pamplet atau buku kecil dan boleh diambil secara percuma.
Edaran pamplet tidak terhad di Masjid Fanar sahaja tetapi ia juga diedarkan di beberapa kompleks membeli-belah dan kawasan tumpuan pelancong. Saya pernah lihat shelf buku dan pamplet tersebut di tempat-tempat tersebut.
Tidak hairanlah hampir setiap minggu, ada saja individu-individu yang memeluk Islam di sini. Dakwah mereka sangat berkesan.
Sesi lafaz shahadah dengan pembesar suara dilakukan selepas sembahyang jumaat dan disaksikan oleh ramai jemaah.
Dalam perkembangan lain, sembahyang jumaat disini pergi lah masjid mana pun mereka akhiri sembahyang tanpa doa dibacakan macam kita di Malaysia.
Begitu juga rutinnya ketika sembahyang harian di mana-mana masjid pun.
Ada yang mengatakan ia adalah amalan fahaman wahabi.
Ya memang benar peratusan fahaman wahabi di sini adalah besar sama seperti di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Ini berdasarkan hasil pembacaan saya lah benar atau tidak wallahualam.
Ada beberapa masjid syiah di sini tetapi saya difahamkan sembahyang jumaat tidak dilangsungkan disana.
Dan ianya tidak dipanggil masjid tetapi disebut sebagai "imam bargah" iaitu dewan upacara khas untuk penganut syiah. Syiah adalah minoriti di sini.
Berbalik kepada sembahyang jumaat tadi. Azan biasanya dilaungkan 2 kali.
Azan pertama tu adalah azan peringatan untuk menjemput para jemaah ke masjid.
Dan azan kedua adalah azan masuknya waktu sembahyang zohor.
Kalau di masjid berdekatan rumah khutbah bahasa arab disampaikan tanpa teks oleh imam berbangsa arab.
Imam yang menyampaikannya juga bukan sembarangan. Saya lihat beliau memandu kereta mewah. Tetapi penampilannya amat sederhana, kemas dan bersih.
Hanya dua imam yang selalu mengetuai sembahyang jumaat di masjid berdekatan dan mungkin juga mereka telah dilantik oleh pihak berkuasa agama Qatar.
Khutbah disampaikan di sini kebanyakannya berkisarkan tentang sunnah dan ajaran Rasulullah s.a.w.
Jika isu semasa dikupas pasti akan ada juga contoh sunnah atau ayat Al-Quran yang akan di selitkan.
Hal ini biasalah. Khutbah berkisarkan politik memang tak pernah wujudlah disini.
Saya tak berasa semak otak sebab tak dengar khutbah berfusionkan politik.
Ada juga sebuah masjid di sini yang menjadi tumpuan orang Sunni iaitu Masjid Umar Al-Khattab.
Khutbah Jumaat masjid ini disampaikan oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi (Pengerusi Perhimpunan Ulamak Antarabangsa).
Khutbah Sheikh Yusuf Qaradawi ni agak panjang dan disiarkan secara langsung ke Qatar Television.
Agak-agak saya lah khutbahnya ada juga yang hampir dua jam.
Khutbahnya dalah bahasa arab dan berkisarkan tentang perkembangan, permasalahan, akidah dan peranan umat Islam di dunia.
Ketika beliau menyampaikan khutbah, saya dapati ada juga para jemaah yang menangis teresak-esak.
Kebetulan ketika sesi khutbah yang saya hadiri itu berkisarkan tentang kekejaman tentera Mesir terhadap Ikhwanul Muslimin.
Mungkin juga ahli keluarga atau kenalan mereka terlibat dalam krisis di sana.
Kesian saya tengok. Apa yang boleh saya katakan adalah saya ambil pengalaman ini sebagai ikhtibar negara saya masih selamat walaupun kadang-kadang kita rasa sebaliknya.
Untuk ke Masjid Fanar saya kene drive lebih kurang 5 Kilometer.
Jika ada ahli keluarga saya datang ke sini saya akan bawa mereka ke beberapa masjid yang saya sebut di atas. Mereka juga akui berbeza pengalamannya di sini.
Hari jumaat adalah hari minggu di sini sama seperti di Kedah, Kelantan dan Johor di Malaysia.
Semua premis perniagaan akan menghentikan operasi dan tutup ketika sembahyang jumaat berlangsung.
Di sesetengah pusat membeli-belah hanya anchor tenant sahaja beroperasi diwaktu pagi dan akan tutup sebelum sembahyang jumaat.
Kedai-kedai lain biasanya akan mula beroperasi pada pukul 3pm. Ada juga premis yang buka lebih awal.
Saya dapati hari jumaat di sini memang boleh luangkan waktu 100% untuk keluarga. Saya bersyukur dan Alhamdulillah dapat merasa tinggal di sini.
Ada lagi pengalaman tinggal di sini yang akan saya kongsi. Tunggu...

Friday, October 9, 2015

Ikan Kukus Portugis Daun Tin

Ikan Kukus Portugis Daun Tin
Bahan-bahan Utama:-

1 ekor ikan **
5 batang kacang bendi (dipotong serong)
1 sudu makan air perahan limau
1/2 sudu makan kicap pekat
Garam (secukup rasa)
Gula (secukup rasa)
4 helai daun tin (bersaiz sederhana) *
2 sudu makan minyak masak
2 keping kertas aluminium

** Hidangan ini sesuai untuk semua jenis ikan dan makanan laut lain seperti sotong udang dan kepah. Jenis ikan yang biasanya digunakan di Malaysia adalah pari / siakap / kembung. Dalam resepi ini saya gunakan ikan "Atlantic Sea Bream" yang rasanya hampir sama dengan Siakap (sila rujuk foto lampiran di bawah)
* Sekiranya tiada daun tin. Saudara boleh gunakan daun pisang atau daun kunyit

Bahan-bahan kisar:-

8 tangkai cili kering *
4 biji buah keras
1 labu bawang besar (saiz sederhana)
1 batang serai
1/2 inci belacan
1 sudu serbuk cili (sebagai penambah warna)
2 helai daun limau purut ("optional")

* boleh juga digantikan dengan cili hidup merah (4 tangkai) sekiranya tiada cili kering

Kaedah Penyediaan:-

1. Panaskan kuali dan minyak masak. Tumis bahan-bahan yang telah dikisar.
2. Tambah air perahan limau, kicap pekat dan season dengan gula dan garam secukup rasa. Setelah agak kering biarkan ia sejuk sementara saudara lakukan proses berikutnya.
3. Hamparkan kertas aluminium dalam dulang pembakar. Lapikkan dua helai daun tin di atas kertas aluminium.
4. Lumur luar dan dalam perut ikan dengan bahan kisar yang telah dimasak dan disejukkan. Tempatkan ikan yang telah dilumur dengan bahan kisar tadi di atas daun tin yang diletakkan diatas kertas aluminium tadi. Sekiranya ada baki bahan kisar tuang ke atas ikan dan tabur hirisan bendi dibahagian atas.
5. Ambil baki dua helai daun tin dan balut ikan di bahagian atas dan balut sekali lagi dengan kertas aluminium kedua. Panaskan kuali leper untuk memasak ikan yang telah dibalut dengan kertas aluminium. Saudara juga boleh bakar dalam oven dengan suhu 200 darjah celsius selama 30 minit.

Nota: Proses yang memasak yang digunakan tidak dipanggil ikan bakar kerana ikan tersebut dibalut dengan kertas aluminium dan tiada wap masakan keluar dari balutan. Maka terma kukus adalah yang paling tepat untuk resepi ini.

Selamat Mencuba!

Sila rujuk lampiran bergambar dibawah untuk lebih menghayati resepi:-
Bahan kisar
Ikan Atlantic Sea Bream
Daun tin
Bahan kisar yang ditumis
Ikan yang telah dilumur bahan kisar dan ditabur hirisan bendi. Luhat daun tin dilapik di bahagian bawah.
Baki daun tin dibalut di bahagian atas
Ikan dibungkus dengan kertas uluminium sebelum dibakar
Setelah masak daun tin bahagian atas kelihatan lecur
Ikan bakar portugis daun tin sedia untuk dimakan 
Isi ikan kukus portugis daun tin yang lembut dan berjus. Dilengkapi dengan rasa masam, masin, manis disamping aroma daun tin yang sungguh istimewa. 

Thursday, September 10, 2015

Resipi Daging Pad Kra Paw

Daging Pad Kra Paw
Dah lama tak update resepi kat sini. Hari ni saya nak perkenalkan resipi Daging "Pad Kra Paw" versi saya. Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai "Stir Fried Beef with Basil Leave".

Pad Kra Paw ni bermaksud daun basil atau yang paling tepat sekali adalah Thai Holy Basil. Holy Basil ni banyak digunakan dalam masakan yang saya ingin share ini di Thailand.

Tetapi saya lebih suka menggunakan Thai Sweet Basil kerana aroma nya yang lebih kuat. Lebih berselera nak makan.

Selain daging lembu, daging ayam juga sesuai digunakan untuk resepi ini.

Senarai penuh bahan-bahan:-

Daun basil (Thai Sweet Basil @ Holy Basil) - Segenggam
Daging lembu dipotong nipis atau memanjang - 400 gram
Bawang putih - 5 ulas (Dicincang)
Cili kisar / cili boh - 5 sudu makan
Kicap cair - 1 sudu makan
Sos ikan - 1 sudu makan
Sos tiram - 2 sudu makan
Minyak masak - 4 sudu makan
Air - sekiranya inginkan hidangan ini berkuah
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:-

1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga wangi.
2. Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
3. Masukkan daging dan masak daging sehingga empuk.
4. Tambah perasa dengan memasukkan kicap cair, sos ikan, sos tiram dan masukkan daun basil.
5. Sekiranya suka hidangan ini berkuah, tambahkan sedikit air.
6. Kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa.
7. Setelah rasanya lengkap dan mantopp hidang panas-panas dan makan dengan nasi putih. Saya suka makan hidangan ini bersama telur mata.

Tak kenal Thai Sweet Basil? Lihat gambar dibawah:-

Daun Basil (Thai Sweet Basil)
Bahan utama lain yang diperlukan adalah seperti di bawah:-

Cili Kisar dan Bawang Putih 
Daging
Bawang putih dan cili kisar yang ditumis
Daging yang telah dimasukkan menghasilkan sedikit kuah/juice
Setelah daun basil, sos dan bahan perasa dimasukkan
Sesuai dimakan bersama nasi putih dan telur mata

Friday, August 7, 2015

Buah Delima Hijau

Delima Hijau Taif
Dah lama saya tak update blog ni. Hari ni saya terpanggil untuk meng"update" satu post. Kali ini saya nak kupas sedikit cerita tentang buah delima iaitu salah satu buah faveret saya.

Kenapa delima? Sebabnya saya baru terjumpa/terbeli buah delima hijau yang pertama kali saya jumpa seumur hidup saya. Sepanjang 3 tahun tinggal di Qatar inilah kali pertama saya nampak buah delima hijau dijual.

Bukan dijual di supermarket mewah ataupun hypermarket tumpuan ramai ye…saya beli buah ni di kedai sayur kecil berdekatan rumah.

Saya kerap berkunjung ke kedai tersebut sebab selalu nampak buah yang "rare"  atau jarang dilihat dijual di situ.

Menurut penjual, bekalan buah delima hijau ni diperolehi dari sebuah ladang di Taif, Arab Saudi dan katanya buahnya manis.

Balik ke rumah saya cuba rasa, ya memang betul buahnya manis. Meleset tanggapan saya pada awalnya yang menganggap buah hijau adalah putik dan pasti masam rasanya.

Untuk pengetahuan saudara, buah delima hijau ni ada aroma yang agak kuat berbanding delima lain yang saya pernah rasa. Tak tahulah mungkin ketika menikmati buah ini kalau deria bau saya terlebih sensitif.

Sejak kebelakangan ini saya agak aktif berkawan dengan beberapa orang peminat tanaman pokok tin atau figs di Malaysia. Salah seorang dari mereka ada memperkenalkan sebuah group  sembang online dalam aplikasi telegram.

Dalam group sambang tanaman itu terdapat ramai pakar agro yang aktif memberi pandangan dan tips. Apabila saya mengetengahkan gambar delima hijau saya, salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa buah delima hijau dan putih sangat berkhasiat dan menjadi pilihan dalam penyediaan ubat herba.

Kulit delima hijau yang masih mempunyai tentakel bunga di bahagian bawah boleh dikeringkan dan di rendam di dalam air panas untuk diminum airnya. Ia amat efektif bagi menurunkan tahap kolestrol dalam badan.

Menurut seorang lagi pakar tanaman ada menyatakan kulit delima hijau ini boleh digunakan dalam perubatan Islam/alternatif. Dengan iringan doa tertentu, ia dapat menghalau gangguan makhluk halus. Wallahualam.

Sesiapa yang ada info tentang khasiat delima tak kira lah delima hijau, putih, merah atau hitam bolehlah kongsikan bersama saya diruangan komen. InsyaAllah saya akan update lagi post tentang delima hijau ini bagi manfaat semua.